BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Iklan

Iklan

Sabtu, 5 Februari 2011

Kanak-kanak 8 tahun lemas

PASIR PUTEH – “Kakak jangan pergi dalam tu,” itulah kata-kata terakhir yang dijeritkan bapa kepada anak sulungnya yang lemas ketika mencari kepah di lagun maut, Kuala Semerak, dekat sini semalam.

Rabiatul Adawiyah, 8, yang berada beberapa meter dari bapanya, Razni Tahir, 39, kemudiannya tenggelam di tengah lagun.

Razni tidak menyangka kemeriahan mencari kepah dan lala bertukar tragedi apabila Rabiatul maut di dasar lagun tersebut yang meragut 26 nyawa sejak kawasan berlumpur itu terbentuk awal 80-an.

Razni berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas sekali kerana anak kesayangannya itu hilang begitu sahaja apabila sampai di kawasan air yang dalam itu.

“Saya menjerit sebagai memberi amaran kepadanya, tapi sudah terlambat, dia tiba-tiba hilang,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga ke Kuala Semerak kelmarin dan datang semula semalam sebelum kejadian sedih itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.55 pagi dan terus bergerak ke tempat kejadian bersama lima anggota dari Pasir Puteh, lima anggota daripada unit skuba Kota Bharu serta dibantu bomba sukarela dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 minit menyelam serta mencari di kawasan persekitaran lagun itu sehinggalah mayat ditemui dalam keadaan tertiarap di dasar sedalam tiga meter,” katanya.

Beliau berkata, mayat lengkap berbaju dan seluar itu kemudian di bawa ke tanah lapang sebelum di serahkan kepada ayahnya, Razni dan ibunya, Wan Rohani Wan Hashim, 31 yang sedia menunggu sepanjang operasi itu dijalankan.

Kaharudin berkata, Rabiatul Adawiyah merupakan anak pertama daripada lima adik beradik dan mereka sekeluarga tinggal di Klang, Selangor dan pulang bercuti di rumah keluarga mereka di Kampung Laklok, Machang.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan kali ke-26 berlaku di kawasan lagun maut tersebut dan sehingga kini masih ramai yang tidak mengambil kisah tentang bahaya di kawasan tersebut.

“Kebanyakan mereka yang datang ke sini adalah orang luar dan bukan penduduk tempatan, mereka tidak tahu bahaya menanti.

“Papan tanda bahaya sebelum ini ada diletakkan di pintu masuk ke kawasan tersebut tetapi ia kini sudah hilang angkara manusia yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal sebelum ini menasihati orang ramai agar tidak lagi mengunjungi lagun tersebut kerana tempat itu terlalu berbahaya.

Katanya, orang ramai tidak menghiraukan papan tanda dan terus mengunjunginya bersama keluarga tanpa rasa takut malah kawasan itu seakan-akan pesta khususnya pada musim cuti sekolah.

0 ulasan: